Friday, August 21, 2009

Ulasan mengenai audio

Penerangan mengenai AUDIO
Pada peringkat permulaan perkembangan teknologi komputer, audio atau bunyi yang boleh didengari pada sesebuah sistem komputer hanyalah bunyi-bunyian asas seperti bunyi “beep” atau “ding” yang sering kedengaran apabila berlakunya kesalahan teknikal di dalam sesebuah sistem komputer.

Kini, perkembangan teknologi yang pesat membolehkan sesebuah sistem komputer mengeluarkan pelbagai bunyi bukan setakat bunyi “beep” malah juga muzik, suara latar, kesan bunyi khas dan juga bunyi-bunyian sepertimana yang sering kedengaran melalui konsert muzik yang sebenar.

Audio atau bunyi merupakan salah satu cara yang paling berkesan dan mudah bagi menarik minat pengguna. Kesan bunyi yang ringkas boleh digunakan bagi menarik minat dalam pelbagai sudut sesebuah persembahan maklumat. Bagi persembahan yang lebih kompleks, suara latar (voice-over) dan iringan muzik mampu menambahkan minat dan menjadikan sesebuah persembahan lebih menarik.

Unsur audio juga boleh digunakan di dalam sesebuah persembahan multimedia bagi menyampaikan maklumat dan mempertingkatkan kefahaman terhadap isi kandungan dari media lain yang hendak dipersembahkan. Ia juga mampu menimbulkan keseronokan, meningkatkan minat dan mencorakkan sesebuah persembahan multimedia.

Teknologi audio menerusi internet ini memberikan kemudahan kepada seseorang untuk mendapatkan maklumat mahupun hiburan yang berkualiti dengan mudah, murah dan pantas. Teknologi audio menerusi internet juga membolehkan sesuatu siaran secara langsung ataupun klip-klip audio dan video yang telah dirakamkan seperti sukan, siaran stesyen radio seluruh dunia, berita, muzik, syarahan dan sebagainya dimainkan.

Terdapat pelbagai format fail audio dan format yang popular ialah rm, ra, ram dan swf. Perisian tambahan yang khusus seperti Real Player dan sebagainya diperlukan untuk memainkan audio tersebut. Format fail audio yang biasa digunakan ialah wav dan aif.

Terdapat 2 jenis audio iaitu audio analog dan digital. Kebanyakan peralatan audio yang ada pada masa kini masih berasaskan teknologi analog. Contohnya seperti pemain dan perakam kaset audio, pemain piring hitam, kaset video, CD audio (muzik) dan sebagainya. Sebenarnya, media yang digunakan bagi menyimpan data audio bagi analog dan data audio digital adalah sama. Terdapat beberapa format fail audio digital yang sering digunakan antaranya wave (WAV), sound (SND), Audio Interchange File Format (AIFF) dan midi(MID). Selain itu terdapat juga audio yang tersimpan dalam format MP3 ataupun MPEG Level 3.

No comments:

Post a Comment