CABARAN mendepani kesihatan kini banyak bergantung kepada kecanggihan teknologi yang membantu mengurangkan 'pening kepala' pesakit bukan kerana penyakit dialami, tapi sebaik melihat kos perubatan semakin meningkat saban tahun. Beberapa langkah boleh diambil bagi menangani masalah terbabit sama ada di pihak umum sendiri atau kemampuan hospital mendapatkan perkakasan teknologi maklumat (IT) yang komprehensif bersesuaian dengan kehendak pesakit semasa. Apabila dilihat bidang perubatan dari perspektif pembekal perkakasan industri terbabit, ramai bersetuju untuk menghasilkan peranti yang tidak menyusahkan pengguna. Tidak lupa juga isu berkaitan kepantasan mengesan penyakit sebelum ia menular menjadi lebih parah dan teknologi menjadi jawapan utama bagi merungkaikan persoalan terbabit.
Keperluan kesihatan memerlukan perkakasan moden jika dihitung berdasarkan kajian populasi dunia yang akan meningkat kepada sembilan bilion pada 2050. Daripada jumlah terbabit, dua bilion penduduk berusia 60 tahun ke atas, tahap yang membabitkan pelbagai jenis penyakit. Berdasarkan kajian Laporan Tahunan 2008 Philips, kos penjagaan kesihatan dunia dijangka mengalami pertambahan kira-kira RM39 trilion. Ketua Pegawai Eksekutif Penjagaan Kesihatan Philips, Steve Rusckowski, berkata penjagaan kesihatan adalah satu perkara paling dibimbangkan ditambah kehidupan dengan penyakit kronik.
"Masalah kos kesihatan akan terus menghantui dan meningkat dan ini memerlukan perkakasan baru lebih termaju tapi berkos efektif," katanya. Justeru, beberapa organisasi mengambil inisiatif menubuhkan Gabungan untuk Kecemerlangan Klinikal (ACE) yang akan bertindak menentukan faedah dan kos IT dalam perubatan. Ia disertai beberapa hospital, pembekal produk kesihatan dan universiti bagi mengkaji kos sebenar IT dalam industri perubatan sama ada ia berbaloi untuk digunakan di pusat perubatan atau tidak. Sementara itu, pembekal produk dan perkhidmatan perubatan, GE Healthcare, memfokuskan rawatan awal sebagai jalan penyelesaian bagi menangani masalah kos rawatan yang semakin meningkat.
Menurut Naib Presiden dan Pengurus Besar GE Healthcare Asia Pasifik, Clarence Wu, syarikatnya menggunakan rawatan awal bagi pengesanan penyakit membantu pesakit dari segi kos rawatan. "Kami percaya, tanda awal yang dikesan mampu mengurangkan kos rawatan. Oleh itu, kami mengeluarkan perkakasan canggih yang lebih efisien berdasarkan pemahaman, diagnosis dan merawat penyakit seawal mungkin," katanya. Katanya, penggunaan teknologi termaju mampu mengesan penyakit lebih awal yang membolehkan masyarakat lebih berwaspada.
Dalam pada itu, pembekal produk kesihatan IT terkemuka, iSOFT memperkenalkan penyelesaian terbarunya iaitu Lorenzo bagi menangani masalah kesepaduan maklumat. Lorenzo menawarkan sistem baru dalam komunikasi kesihatan yang meningkatkan kualiti dokumentasi dan memperbaharui masa maklum balas bagi rawatan pesakit. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif iSOFT Asia, Dr Wim Botermans, berkata platform Lorenzo direka berdasarkan arkitektur perkhidmatan membolehkan akses maklumat lebih jitu dan memproses maklumat secara fleksibel. "Sistem Lorenzo akan menghubungkan rekod pesakit secara elektronik, membantu hospital bertindak lebih pantas serta mampu menawarkan keputusan tepat dan benar berdasarkannya," katanya.
Beliau berkata, Lorenzo akan bertindak dengan menguruskan maklumat pada kos terendah selain memberikan hospital akses kepada maklumat pesakit apabila diperlukan. Maklumat terbabit mampu dikongsi mana-mana hospital dengan pertukaran maklumat lancar melalui sistem yang disepadukan dalam satu platform data.
Semestinya kemudahan terbabit mendatangkan berita baik apabila pesakit mampu memiliki maklumat sendiri dengan mudah namun ia juga akan membangkitkan persoalan sama ada pihak hospital membenarkannya dibawa keluar sesuka hati.
Kebiasaannya, maklumat kesihatan dipegang pihak hospital dan sekiranya pesakit mahu membawa maklumat terbabit ke hospital lain, ia pastinya proses yang sukar. Beberapa tahun lalu, terdapat cadangan ketika persidangan meja bulat anjuran Philips yang membangkitkan persoalan pertukaran maklumat, adakah ia milik pesakit atau milik hospital? Ia berikutan timbul masalah pesakit yang hadir atau dibawa ke hospital, tetapi memiliki rekod di hospital lain. Panel persidangan meja bulat Philips menyarankan supaya kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan mewujudkan peraturan khas atau memusatkan (seperti bank data) semua rekod pesakit.
Beberapa isu berkaitan kos rawatan semakin meningkat, pemusatan data dan sebagainya perlu ditangani secara bijaksana bagi memberi impak positif dalam industri kesihatan terutama jika ia membabitkan jumlah penduduk dunia yang semakin bercambah.
Friday, August 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment