Friday, August 21, 2009

Penggunaan multimedia dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Multimedia sudah lama digunakan dalam bidang pendidikan sebelum pengenalan komputer peribadi di sekolah. Multimedia merujuk kepada bahan-bahan bantu mengajar audio-visual seperti pita radio, televisyen, projektor slaid dan projektor filem.

Perkembangan yang pesat pada masa kini dalam bidang terknologi komputer dari segi kelajuan pemprosesan data, ruang penyimpanan data, peranti sisian seperti pemacu CD-ROM, pengimbas, dan kamera digital telah membolehkan guru dan pelajar menghasilkan sendiri multimedia CD-ROM dengan menggunakan alat-alat sesuai.

Selain itu ia juga dapat melayan gaya pembelajaran yang berbeza di kalangan pelajar dengan elemen-elemen yang terdapat dalam multimedia. Di samping itu multimedia mampu memudahkan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme. Seseorang pelajar boleh mencapai kepada maklumat yang dikehendaki dan belajar memilih untuk belajar sama ada melalui teks, gambar, audio atau video mengikut gaya pembelajaran sendiri. Bagi pelajar yang kurang cekap dalam pembelajaran, golongan tersebut boleh mengulangi perkara yang sudah dilalui sehingga dapat memahami perkara yang dipelajari.

Multimedia merupakan satu gabungan teks, grafik, audio, video dan animasi. Dengan gabungan elemen-elemen ini dalam sesuatu pengajaran, guru boleh mewujudkan satu suasana pembelajaran yang penuh dengan persembahan audiovisual yang bukan sahaja dapat menarik minat pelajar serta merangsangkan deria.

Multimedia interaktif juga menggalakkan pembelajaran koperatif dan interaksi antara pelajar. Mereka berpeluang membentuk kumpulan kecil untuk berbincang dan memahami sesuatu topik, menyelesai masalah dan membuat keputusan. Menurut konstruktivisme, pelajar adalah bertanggungjawb atas pembelajaran.

Dalam proses penyediaan laporan atau persembahan pula, pelbagai gaya pembelajaran dan kemahiran digunakan dan seterusnya pembelajaran aktif terhasil. Gaya pembelajaran pelajar boleh dikenal pasti dengan pelbagai instrumen, antaranya ialah Indeks Gaya Pembelajaran yang dibangunkan berasaskan Model Gaya Pembelajaran Felder-Silverman. Dengan mengenal pasti pelbagai gaya pembelajaran kepunyaan pelajar, guru dapat merancang strategi yang sesuai untuk memenuhi kehendak pelajar mengikut gaya pembelajaran yang menjadi kecenderungan mereka. Walau bagaimanapun, objektif pendidikan bukan sahaja mementingkan gaya pembelajaran kecenderungan pelajar tetapi gaya pembelajaran yang dirasai kurang kecenderungan oleh pelajar juga perlu diperkembangkan.

Dalam hubungan ini, proses pengajaran dan pembelajaran harus dapat melayan pelbagai gaya pembelajaran pelajar supaya pembelajaran yang lebih berkesan terhasil. Kajian-kajian dalam bidang ini telah menunjukkan bahawa multimedia merupakan satu daripada alat-alat yang boleh digunakan ke arah mencapai tujuan ini kerana penggunaan multimedia boleh menggalakkan perbincangan, interaksi dan refleksi di kalangan pelajar dan guru. Ia dapat melayan pelbagai gaya pembelajaran pelajar. Oleh itu, penggunaan multimedia harus dieksploitasikan sepenuhnya dalam sistem pendidikan untuk kepentingan pelajar.

No comments:

Post a Comment